Monday, March 16, 2020

PENGGUNAAN BABI DAN ARAK DALAM PERUBATAN


-TUGAS BERDASARKAN MASALAH-


                         


NAMA PENSYARAH: EN MOHD SAAD BIN MOHD SAID

NAMA  AHLI  KUMPULAN :
  1. NUR AZIZATUL AISYAH BINTI MOHD SANIF (03DKA19F1064)
  2. NURUL FAZLIYANI BINTI MAHMOD (03DKA19F1042)
  3. NOOR MAZLIANA BINTI MANIMAZLAN (03DKA19F1036)
  4. NUR ASMA HUSNA BINTI MOHD IZAM (03DKA19F045)
  5. NUR EZATTY BINTI ROZLI (03DKA19F1048)


TAJUK: 
PENGGUNAAN BABI DAN ARAK DALAM PERUBATAN

PENGENALAN :


Dalam sabda Nabi SAW yang lain, Baginda juga menegah umat Baginda berubat dengan menggunakan sesuatu yang kotor (al-khabath). Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A:
نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الدَّوَاءِ الْخَبِيثِ
Maksudnya“Rasulullah SAW telah melarang ubat yang kotor.”
Ibn ‘Arabi berkata, perkataan al-khabath dalam istilah Arab adalah bermaksud sesuatu yang dibenci. Akan tetapi, apabila dirujuk kepada sesuatu percakapan, ia bermakna suatu celaan, sedangkan jika dirujuk kepada agama bererti kufur. Jika dirujuk kepada makanan, maka ia bererti makanan yang diharamkan. Dalam riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, disebutkan dengan tambahan bahawa yang dimaksudkan al-khabath iaitu ubat yang kotor itu adalah al-sum iaitu racun. (Lihat Sunan al-Tirmizi, hadis nombor 2045)

 Islam sangat mementingkan kesejahteraan dan kesihatan tubuh badan umatnya , di samping menyuruh umat manusia berikhtiar mencari ubat apabila dijangkiti sesuatu penyakit. Ini kerana tubuh badan yang sihat akan melahirkan akal yang cerdas dan bijak, dengan tubuh badan yang sihat juga kita lebih mudah dan selesa untuk melakukan ibadah dan urusan harian. Hakikatnya, umat Islam wajib memiliki tubuh badan yang sihat dan kuat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

   Dalam hadith lain, ‘Alqamah ibn Wa’il R.A meriwayatkan daripada ayahnya bahawa telah menyaksikan Nabi SAW ditanya oleh seorang sahabat bernama Suwaid ibn Tariq ibn Suwaid mengenai arak. Maka Nabi SAW telah melarangnya (menggunakan arak tersebut). Kemudian Suwaid berkata: 
“Sesungguhnya kami telah berubat (menggunakan) arak.” Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّهَا لَيْسَتْ بِدَوَاءٍ وَلَكِنَّهَا دَاءٌ
Maksudnya“Bahawa arak itu bukan merupakan ubat, tetapi penyakit.”
Riwayat al-Tirmizi (2046)

UBATAN YANG HALAl MESTILAH MENEPATI SYARAK YANG BERIKUT IAITU ;
  1. Tidak mengandungi bahan daripada haiwan yang haram atau  disembelih tidak mengikut syarak.
  2. Tidak mengandungi bahan yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.
  3. Selamat untuk diambil, tidak beracun, atau memabukkan dan tidak menjejaskan kesihatan.
  4. Tidak disedia, diproses atau dihasilkan menggunakan peralatan yang dicemari najis mengikut hukum syarak.
  5. Tidak mengandungi apa-apa bahagian tubuh manusia atau hasil daripadanya yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak.
TUJUAN :
Islam sangat mementingkan kebaikan dan kesihatan. Dalam aspek kesihatan orang Islam diperintah agar menjaga kebersihan dan kesihatan tubuh badan agar sentiasa berada dalam keadaan sihat, di samping itu Islam menyuruh umatnya berikhtiar mengubat apabila dijangkiti sesuatu penyakit. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan mengubati penyakit. Antaranya seperti berikut:
(a) Surah AI-Isra' ayat 82 - bermaksud:
'Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat, penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepada-Nya.'
(b) Hadis Rasulullah s.a.w. dari Jabir R.A.:
'Katanya sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: 'Bagi Setiap penyakit ada ubatnya, maka apabila ubat itu sesuai untuk sesuatu penyakit, akan sembuh dengan izin Allah'.
Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad.
(c) Hadis Rasulullah s.a.w. lagi daripada Usamah bin Syarik katanya;
'Seorang Arab Badawi bertanya Rasuluilah s.a.w. (apabila beliau dihinggapi penyakit),
wahai Rasulullah s.a.w. adakah perlu kami berubat, kata Rasulullah, 'Ya', ; Wahai hamba Allah hendaklah kamu berubat; maka sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan ada penawarnya'
Hadis Riwayat At-Tirmizi (H. Hassan, Sahih)


PERANAN DAN CARA MENGATASI :

PERANAN : 



   Dalam aspek perubatan, walaupun Nabi SAW memberi kebebasan kepada umat Baginda untuk menggunakan bahan-bahan tertentu sebagai ubat dalam merawat sesuatu penyakit, namun Baginda melarang penggunaan bahan-bahan yang diharamkan.


Diriwayatkan oleh Abu Darda’ R.A, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat dan menyediakan bagi setiap penyakit itu ubat. Maka berubatlah, dan janganlah kamu berubat dengan benda yang diharamkan.”


Oleh itu, bahan-bahan yang tidak halal dan diharamkan oleh Allah SWT seperti yang terkandung dalam al-Quran atau dijelaskan oleh Nabi SAW sama sekali tidak boleh dijadikan ubat untuk merawat penyakit walaupun dalam kuantiti yang sedikit. Contohnya menggunakan beberapa titis arak untuk merawat sesuatu penyakit.

hadith di atas secara jelas melarang daripada menggunakan benda-benda yang najis dan haram bagi tujuan perubatan. Walaubagaimanapun di dalam kitab al-Majmu’ dinyatakan bahawa larangan tersebut (berubat dengan yang haram dan najis) ialah jika tidak ada keperluan untuk menggunakan ubat-ubatan yang haram dan najis kerana masih terdapat ubat yang suci.

Dalam keterangan yang lain, disebutkan bahawa keharusan makan atau gunakan perkara perkara yang haram seperti arak dan babi tersebut adalah ketika menghadapi saat darurat sahaja. Merujuk kepada pendapat Imam Syafie, Abu Hanifah dan jumhur ulama’ mengatakan bahawa babi dan arak adalah perkara yang haram melainkan ia harus diminum sebagai ubat ketika darurat.

Namun begitu, Apabila sesuatu yang tidak bersih seperti benda atau perkara yang haram telah melalui satu proses yang membuatkan ia telah kehilangan ciri-ciri asalnya ia tidak akan dinilai mengikut asalnya kerana ia telah benar-benar berubah. Penjelasan mudah; perubahan dalam sifat bahan setelah melalui proses tertentu ini disebut sebagai istihalah. contohnya, arak yang bertukar menjadi cuka; ataupun, bangkai yang bertukar menjadi garam ataupun tanah.

jadi , Kami berpendapat bahawa pengharaman pengubatan dengan bahan yang haram adalah selari dengan apa yang dinaskan oleh Allah dan Rasul-Nya SAW. Inilah yang sepatutnya menjadi pegangan dan amalan kita. Akan tetapi, dalam kes darurat, maka ianya diharuskan tetapi terikat dengan kadarnya.

CARA MENGATASI :


   Allah memerintahkan kita untuk mengambil makanan yang bukan sahaja halal, tetapi juga baik ataupun dalam istilahnya disebut Halalan Thoyyiban agar tidak membahayakan tubuh badan kita. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Perkhidmatan Farmasi memainkan peranan dengan memastikan ubat-ubatan di Malaysia adalah berdaftar dengan KKM. Produk farmaseutikal berdaftar ini telah dinilai dari aspek keselamatan, keberkesanan dan kualiti manakala produk tradisional berdaftar pula dinilai dari aspek keselamatan dan kualitinya dengan tujuan utama untuk melindungi kesihatan kita. Ini bertepatan dengan konsep Thoyyiban.


Selain itu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) juga mewajibkan syarikat-syarikat farmaseutikal untuk mengisytiharkan sekiranya produk-produk mereka mengandungi bahan-bahan dari unsur haiwan dengan meletakkan label yang menyatakan bahawa produk ini mengandungi bahan daripada sumber haiwan seperti unsur lembu (bovine), khinzir (porcine) dan sebagainya. Terdapat bahan mentah seperti magnesium stearate, gliserin atau gelatin yang boleh diperolehi dari sumber haiwan.

Pelabelan ini adalah untuk membantu pengguna khususnya pengguna beragama Islam, Hindu, golongan vegetarian dan pengguna yang mempunyai alahan tertentu untuk mengelakkan dari menggunakan produk berkenaan. 

Selain itu, jika tiada pilihan lain dan ubat yang mengandungi bahan haiwan terpaksa digunakan untuk merawat pesakit, pihak hospital akan mendapatkan persetujuan daripada pesakit terlebih dahulu sebelum memberikan ubat tersebut.


Dalam konteks farmaseutikal halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) merupakan badan autoriti yang diberi kuasa di Malaysia. Pihak JAKIM telah memainkan peranan yang besar dengan memperkenalkan persijilan halal untuk produk farmaseutikal berdasarkan standard Farmaseutikal Halal pertama di dunia iaitu MS2424: 2012.


Selaras dengan itu, bermula pada tahun 2013, pihak PBKD telah membenarkan penggunaan logo halal bagi produk-produk farmaseutikal berdaftar kategori produk bukan racun (Over-The-Counter, OTC) seperti supplemen kesihatan dan ubat-ubatan yang tidak memerlukan preskripsi daripada doktor atau ahli farmasi. Tetapi hanya logo Halal yang diperakui dan dikeluarkan oleh JAKIM atau dari Badan Islam yang diiktiraf oleh JAKIM yang boleh diterima pakai.

Penggunaan logo halal bagi produk-produk farmaseutikal ini adalah secara voluntari dan sekiranya tiada logo halal adalah tidak wajar sesuatu produk itu terus dianggap haram untuk digunakan. Pengguna berhak untuk mendapat maklumat dan boleh bertanya kepada pegawai-pegawai farmasi di hospital sekiranya terdapat sebarang keraguan.


Oleh yang demikian, penggunaan bahan haram dalam perubatan ini dapat dielakkan sekiranya masing masing mengambil tanggungjawab untuk hindari dari mengunakan bahan seperti ini. Jadi ianya bukanlah tidak boleh digunakan langsung, akan tetapi hanya harus digunakan ketika waktu darurat sahaja. isu seperti ini dapat kita elakkan bersama sekiranya semua pihak prihatin akan hal ini

KESAN :
Kesan daripada pengambilan arak dan babi dalam perubatan :
  •  Seseorang yang mengambil bahan haram akan hilang keberkatan dalam hidup. Kesan daripada pengambilan makanan dan minuman  haram akan menghilangkan keberkatan dalam kehidupan serta harta . 
  • Hidup pula tidak bahagia dan jiwa sentiasa tidak tenang, malah hidup dipenuhi dengan pelbagai masalah.
  • Doanya tidak akan diterima oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seseorang lelaki melakukan perjalanan yang jauh, rambutnya kusut-masai, mukanya berdebu, menadah kedua belah tangannya ke langit dan berdoa : Ya Rabbi! Ya Rabbi! Pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah akan diterima doanya itu?” (HR Muslim)
  • Dagingnya akan dibakar dalam neraka. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tiap-tiap daging yang tumbuh dari benda yang haram, maka neraka lebih utama untuknya.” (HR Tirmizi)
  • Hati sesorang akan menjadi keras. Rasulullah SAW sangat memberi penekanan terhadap hati, sebagaimana sabdanya, “Ketahuilah bahawa dalam tubuh badan terdapat seketul daging yang apabila baik, nescaya baiklah seluruh tubuh badan dan apabila ia rosak, nescaya rosaklah seluruh tubuh badan, ketahuilah, itulah hati.” (HR Bukhari dan Muslim)


KESIMPULAN:
  Dr Yusuf al-Qardawi pula di dalam buku tulisannya “Halal dan Haram Dalam Islam” menekankan dan mengingatkan umat Islam agar tidak mempermudahkan kelonggaran yang diberi oleh syarak dengan sesuka hati atas alasan darurat.
Dalam memutuskan keharusan penggunaan ubat yang mengandungi bahan haram, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut adalah benar-benar darurat perlu dipenuhi. Antara syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh ulama dan Majlis Fatw Kebangsaan Malaysia ialah :
  1. Darurat itu benar-benar berlaku dan bukan sesuatu yang tidak pasti. Dalam erti kata  telah berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudaratan pada lima prinsip asas (agama, nyawa, akal, keturunan dan harta) ataupun menyebabkan kemusnahan akan berlaku secara pasti.
  2. Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syara’, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudaratan melainkan perkara yang ditegah atau diharamkan.
  3. Usaha harus dilakukan untuk memastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudaratan yang menimpa pesakit.
  4. Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja.
  5. Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah disyorkan, dipastikan dan diperakui oleh seorang doktor atau pengamal perubatan muslim yang adil, diyakini amalan dan pegangan agamanya serta mempunyai pengetahun dalam bidang tersebut.


PENUTUP:
Di akhir kata penggunaan babi dan arak dalam perubatan diharuskan ketika dalam kemudaratan yang mendesak sesorang mengambilnya. Justeru, hendaklah kita beriman dan bertakwa kepada الله  SWT  sesungguhnya dialah yang memberikan penyakit dan menyembuhkan penyakit.
إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ
Maksudnya“Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat dan menyediakan bagi setiap penyakit itu ubat. Maka berubatlah, dan janganlah kamu berubat dengan benda yang diharamkan.”
Riwayat Abu Daud (3870)
RUJUKAN :

PENGGUNAAN BABI DAN ARAK DALAM PERUBATAN

-TUGAS BERDASARKAN MASALAH-                            NAMA PENSYARAH: EN MOHD SAAD BIN MOHD SAID NAMA  AHLI  KUMPULAN : N...